UMNO perlu dominan – Shahril Hamdan

sh-shahrilhamdan-media-8

KUALA LUMPUR: UMNO perlu menjadi parti yang dominan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), meskipun ada kalangan pemimpin parti itu berpendirian sebaliknya.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, berkata itu hakikat atau kedudukan sebenar parti itu yang perlu diterima kerana UMNO mempunyai kekuatan asas paling besar di negara ini.

“Parti ini mempunyai kekuatan asas paling besar di Malaysia. Kekuatan ini bukan datang dari mana-mana individu semata-mata, tetapi daripada institusi itu sendiri.

“Sesiapa yang menafikan perkara ini, bermakna menafikan hakikat politik.

“Bagi UMNO jelas, apapun formula akhir menjelang PRU-15, UMNO mesti dominan. Jika tidak menerima hakikat itu, ‘game over dan no deal’,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Sebelum ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan UMNO dikatakan akan merintis jalan untuk memulihkan hubungan kedua-dua parti dengan tumpuan mengukuhkan kembali kerjasama antara mereka.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasin, dilaporkan berkata jika semua parti hanya memikirkan kepentingan kabilah dan kelompok, maka selamanya mereka akan berpecah-belah, manakala seruan perpaduan Melayu serta penyatuan ummah akan menjadi retorik semata-mata.

Muhyiddin yang juga Perdana Menteri dilaporkan berkata, kini adalah masa untuk semua pemimpin Melayu mengetepikan perbezaan politik dan bangkit mempertautkan silaturahim dalam semangat ukhuwah dan mahabbah demi maslahah lebih besar, iaitu penyatuan orang Melayu di negara ini.

Bagaimanapun Shahril Sufian berkata, tiada pemimpin UMNO yang boleh menerima parti itu sebagai tidak penting atau kedudukan lama (‘second fiddle’), sama ada kalangan mereka yang menyokong propenyatuan atau propengharmonian.

“Selagi dia orang UMNO, selagi itu ada garis merah yang tidak akan dikompromi,” katanya.

Katanya, meskipun UMNO menghormati Perdana Menteri dan institusinya serta membantu dalam kerajaan hari ini, baginya isu dominan akan timbul, tetap timbul dan tiada istilah apologetik dalam hal terbabit.

Selain itu, katanya, jika ada pihak luar UMNO yang berkehendakkan kerjasama yang realistik, selain menerima hakikat tertentu, pihak itu disarankan menghentikan kenyataan yang menyusahkan diri sendiri.

URL Laporan Berita:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/760523/umno-perlu-dominan-shahril-hamdan