PRU-15: Bekas KM, Ketua Penerangan UMNO berentap di Alor Gajah

sh-shahrilhamdan-media-15

MELAKA: Bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan antara tiga calon yang bakal mencabar penyandang kerusi Parlimen Alor Gajah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam saingan empat penjuru itu, penyandang, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof dari Perikatan Nasional (PN) akan turut dicabar Muhammad Nazriq Abdul Rahman daripada PEJUANG.

Pegawai Pengurus Pilihanraya, Datuk Saiful Hazwa Kipli mengumumkan senarai calon yang akan bertanding merebut kerusi Parlimen Alor Gajah kira kira jam 10.38 pagi di Dewan Taming Sari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Alor Gajah di Lendu di sini.

Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO menjadi calon UMNO pertama bertanding di kerusi itu selepas kerusi berkenaan ditandingi calon MCA sejak 1986 sehingga PRU14.

Shahril Hamdan yang juga Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri berkata, sokongan padu daripada jentera akar umbi BN pada penamaan calon berkenaan juga diharap akan menjadi kekuatan kepada pengundi untuk memilihnya menerusi pelbagai tawaran dan idea dalam melonjak potensi Alor Gajah.

URL Laporan Berita:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/11/1021093/pru-15-bekas-km-ketua-penerangan-umno-berentap-di-alor-gajah