Penutupan Network School tak jejas pelabur teknologi, kata KJ, Shahril

Bekas menteri sains, teknologi dan inovasi Khairy Jamaluddin berkata pelabur asing utama memahami persekitaran perniagaan dan budaya Malaysia.

Network School diarah menghentikan operasi pada 22 Julai lalu selepas Majlis Bandaraya Iskandar Puteri membatalkan lesen perniagaan dan pengiklanannya. (Gambar Network School)

PETALING JAYA:Penutupan Network School dijangka tidak menghalang pelabur teknologi melabur di Malaysia, kata bekas pemimpin Umno, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.

Mereka berkata, syarikat teknologi multinasional sudah bertapak di Malaysia memahami persekitaran perniagaan negara dan tidak mungkin terpengaruh dengan kontroversi yang melanda Network School.

Khairy yang pernah menerajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata pelabur asing utama memahami persekitaran perniagaan serta sensitiviti budaya Malaysia.

“Saya ada satu sangkaan bahawa pemain FDI (pelaburan langsung asing) besar mungkin tidak begitu terkesan. Mereka tidak terlalu ambil peduli kerana mereka sudah memahami perkara ini. Mereka lebih arif dari segi budaya dan persekitaran pelaburan.

“Jadi, mereka mungkin hanya akan mengetepikannya sahaja,” katanya dalam audio siar Keluar Sekejap.

Kontroversi membabitkan Network School di Forest City tercetus selepas pengguna media sosial mendakwa terdapat penyertaan warga Israel yang menggunakan pasport negara kedua.

Pemegang pasport Israel secara amnya tidak boleh memasuki Malaysia tanpa kelulusan kerana Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Shahril berkata, pengasas Network School, Balaji Srinivasan dalam responsnya terhadap kemelut itu terlepas pandang sensitiviti budaya dan politik Malaysia, khasnya berkaitan Israel serta kedaulatan negara.

Beliau berkata, Balaji sepatutnya memberikan respons lebih diplomatik dengan bekerjasama dengan pihak berkuasa serta menjauhkan diri daripada persepsi beliau memudahkan kemasukan warga Israel.

Sebaliknya, bekas ketua pegawai teknologi Coinbase itu berkata, Network School akan mengetepikan rancangan pelaburannya di Malaysia.

Network School diarah menghentikan operasinya 22 Julai lalu, selepas Majlis Bandaraya Iskandar Puteri membatalkan lesen perniagaan dan pengiklanannya.

Integrasi komuniti teknologi, syarikat pemula tempatan

Khairy berkata, kontroversi itu boleh meninggalkan persepsi negatif dalam kalangan pengasas komuniti teknologi lebih kecil yang sedang mempertimbangkan Malaysia sebagai pangkalan untuk usaha niaga mereka.

Shahril pula berpendapat, sesetengah pemain teknologi tempatan secara peribadi tidak bersetuju dengan penutupan Network School, namun tidak bersuara secara terbuka disebabkan reaksi di media sosial.

Bagaimanapun, mereka berkata, Network School agak terasing daripada ekosistem teknologi tempatan.

Shahril berkata, sebarang inisiatif untuk menarik komuniti teknologi antarabangsa perlu memastikan integrasi lebih baik dengan syarikat pemula tempatan serta agensi kerajaan.

Menurutnya, kerjasama lebih erat dengan agensi seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) boleh menunjukkan manfaat lebih jelas kepada negara dan mengurangkan keraguan masyarakat.

Jelasnya, projek seperti Network School perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang, bukannya dinilai semata-mata berdasarkan peluang pekerjaan atau kejayaan syarikat pemula.

Mereka berkata, lawatan Menteri Digital, Gobind Singh Deo ke Network School sebelum kontroversi tercetus mungkin peluang untuk mengintegrasikan projek itu dengan aspirasi digital Malaysia.

URL Artikel:
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2026/07/24/penutupan-network-school-tak-jejas-pelabur-teknologi-kata-kj-shahril