Dua bekas pemimpin Umno itu berkata, persepsi wujudnya motif politik dapat dielakkan jika tuduhan difailkan sejurus kerajaan perpaduan dibentuk.

Bekas menteri Khairy Jamaluddin (kiri) dan bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan persoal sama ada tuduhan terhadap individu tertentu baru-baru ini merupakan tindakan balas terhadap BN kerana dilihat semakin mesra dengan PN.
PETALING JAYA:Bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan mempersoalkan pemilihan masa tindakan pendakwaan jenayah diambil terhadap beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.
Menerusi episod terkini audio siar Keluar Sekejap, Khairy berkata, beliau tidak membantah proses undang-undang dan sebarang salah laku sememangnya wajar disiasat serta didakwa di mahkamah.
Bagaimanapun, katanya, desas-desus mengenai masa pendakwaan itu dibuat tidak boleh diabaikan begitu sahaja, khususnya ketika hubungan antara BN dan Pakatan Harapan (PH) dilihat semakin tegang.
“BN dah bagi isyarat, mungkin PRU akan datang, kita akan pergi dengan Perikatan Nasional (PN), seperti mana aturan yang kita lihat di Negeri Sembilan.
“Maka ada tindak balas – ini orang cakaplah – dalam bentuk pendakwaan, siasatan dan sebagainya,” kata bekas ketua Pemuda Umno itu.
Pada 27 Ogos lepas, bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob mengaku tidak bersalah atas tuduhan gagal mengisytiharkan hartanya tahun lepas, manakala sehari kemudian, Timbalan Presiden MIC M Saravanan turut memohon dibicarakan atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.097 juta ketika beliau menjadi menteri sumber manusia kira-kira empat tahun lalu.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga menahan dua ahli politik Umno berkait siasatannya berhubung Tabung Haji, termasuk seorang bekas pengerusi dana jemaah haji itu.
Menurut Khairy, sebahagian besar kesalahan yang didakwa dalam kes-kes terbabit sebenarnya tidak berlaku dalam tempoh setahun lalu.
Shahril yang juga bekas ketua penerangan Umno berkata, orang ramai tetap boleh membuat spekulasi mengenai pemilihan masa pendakwaan berkenaan, walaupun tidak bersimpati dengan nasib pemimpin politik yang diheret ke mahkamah.
Katanya, jika tuduhan terbabit difailkan dalam beberapa tahun awal pembentukan kerajaan perpaduan, rakyat tentu kagum dengan kesungguhan Putrajaya bertindak tegas memerangi rasuah dalam kalangan pemimpin gabungan pemerintah sendiri.
“Tetapi apabila (tuduhan dibuat ketika) sokongan itu rapuh, maka orang akan tafsir seperti mana kita dah cakap ini,” katanya.
Skip to content