Khairy Jamaluddin berkata jika Anwar Ibrahim tak buat perubahan PH mungkin tidak jadi kerajaan manakala Shahril Hamdan berpendapat masanya makin suntuk.

Khairy Jamaluddin bersama Shahril Hamdan dalam episod terbaharu audio siar Keluar Sekejap yang disiarkan hari ini.
PETALING JAYA:Perdana Menteri Anwar Ibrahim masih mempunyai ruang untuk mengubah strategi politik dan mengembalikan tumpuan kepada agenda reformasi susulan kehilangan sokongan pengundi dalam pilihan raya baru-baru ini, kata bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Khairy berkata perkembangan politik di Johor dan Negeri Sembilan sepatutnya menjadi amaran kepada Anwar, terutama jika corak sokongan pengundi Melayu kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berterusan sehingga PRU16.
Menurut Khairy, keputusan PRN di Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan satu pola yang tidak boleh dipandang ringan oleh Pakatan Harapan (PH).
“Kalau pola di Negeri Sembilan berterusan di Melaka dan undi Melayu kekal bersama BN-PN pada PRU akan datang dan kalau tidak ada perubahan dari segi pola tersebut, Anwar akan jadi bekas perdana menteri.
“Anwar tidak akan menang penggal seterusnya,” katanya dalam audio siar Keluar Sekejap bersama bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan.
Menurut Khairy, Anwar kini berdepan dua pilihan, iaitu kembali melaksanakan reformasi yang pernah dijanjikan atau menggunakan kuasa kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan politiknya menjelang pilihan raya.
Beliau mendakwa Anwar kini lebih cenderung kepada pilihan kedua.
Khairy mengaitkan pandangan itu dengan beberapa perkembangan kebelakangan ini, termasuk isu peruntukan khas perdana menteri kepada beberapa Ahli Parlimen PKR yang disekat kerana dikaitkan dengan kelompok bekas pemimpin PKR, Rafizi Ramli.
Khairy berkata isu itu lebih besar daripada sekadar perebutan pengaruh dalam PKR kerana ia menyentuh janji PH mengenai keadilan dalam pemberian peruntukan kepada Ahli Parlimen.
“Sebab (Anwar) nak tunjuk bahawa kalau anda tidak bersama dengan saya, saya tak akan bagi satu sen pun dan anda tidak ada peruntukan untuk beri perkhidmatan di kawasan untuk tempoh setahun akan datang.
“Jadi, itu adalah satu bukti penggunaan kuasa untuk mengukuhkan penggal keduanya,” katanya.
Sementara itu, Shahril berpendapat Anwar masih mempunyai peluang untuk mengubah keadaan, tetapi masa yang dimiliki semakin suntuk untuk beliau membuat perubahan.
Katanya, semakin lama Anwar mengambil masa untuk membuat perubahan semakin sukar untuk beliau mendapatkan semula kepercayaan rakyat.
Menurutnya, Anwar mempunyai kelebihan yang tidak dimiliki ramai ahli politik lain, iaitu imej dan reputasi yang dibina selama puluhan tahun sebelum menjadi perdana menteri.
Beliau berkata pada awal pentadbiran Anwar, ramai rakyat termasuk mereka yang pernah menentangnya masih mempunyai harapan terhadap kepimpinan beliau.
Dalam isu peruntukan wakil rakyat, Shahril menggesa Anwar tidak terlalu ego untuk mengakui jika ada keputusan yang perlu diperbetulkan.
Menurut Shahril, mengaku kesilapan tidak semestinya melemahkan Anwar, malah boleh membantu mendapatkan semula kepercayaan rakyat.
“Jadi tak salah untuk kata, okey, saya fikir balik dan sebenarnya saya silap dalam hal ini. Nak keluar ayat ‘saya silap’ pun saya rasa boleh menang balik hati orang,” katanya.
Skip to content