Bekas ketua penerangan Umno berkata parti itu boleh ambil tanggungjawab tetapi pilih naratif jadi mangsa pendakwaan terpilih.

Bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan berkata parti itu cenderung mengatakan Tabung Haji tidak mempunyai masalah, tidak insolven dan tidak mengalami kerugian walaupun dapatan RCI berbeza.
PETALING JAYA:Bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan, berkata parti itu sedang melepaskan peluang untuk dilihat lebih ‘dewasa’ dalam menangani kontroversi berkaitan Tabung Haji (TH) susulan penerbitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Shahril berkata dalam program audio siar “Keluar Sekejap” bahawa Umno mempunyai dua langkah iatu mengambil tanggungjawab dengan akui kelemahan lalu dalam pengurusan TH dan yang kedua teruskan dengan naratif bahawa dapatan RCI itu merupakan pendakwaan terpilih yang bertujuan memburukkan parti berkenaan.
“Bila mendengar dan membaca apa yang berlaku di Musyawarah Nasional, satu forum yang dianjurkan oleh Umno beberapa minggu yang lepas, nampak mereka memilih langkah kedua,” katanya.
Forum Musyawarah Nasional anjuran Umno itu antara lain menampilkan bekas ketua audit negara, Madinah Mohamad dan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah.
“Kenyataan mereka cenderung mengatakan bahawa TH tidak mempunyai masalah, tidak insolven dan tidak mengalami kerugian,” kata Shahril.
Shahril berkata dapatan RCI bahawa liabiliti TH melebihi asetnya merupakan perkara fakta yang tidak boleh dinafikan.
Katanya, dalam forum itu Madinah secara tidak sengaja mendedahkan TH ada masalah apabila berkata beliau pernah mempertimbangkan untuk mengeluarkan sijil audit berteguran, tetapi memutuskan untuk tidak berbuat demikian selepas berbincang dengan Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, pada 2018.
Menurutnya, Madinah berkata beliau bimbang perkara itu boleh mencetuskan pengeluaran wang secara besar-besaran daripada Tabung Haji.
Shahril turut merujuk kepada pemerolehan aset Urusharta Jamaah Sdn Bhd pada 2018, yang disifatkannya sebagai satu bentuk penyelamatan kewangan.
Atas sebab-sebab itu, katanya, Umno melepaskan peluang untuk dilihat lebih dewasa dan bertanggungjawab kepada pengundi, sambil membina semula keyakinan terhadap parti tersebut.
“Dari segi perkiraan politik, bukan hanya penyokong tegar yang anda nak cuba ambil hati, tetapi mereka yang sedang mencari-cari niat, boleh tak saya bagi balik undi kepada Umno?
“Adakah ini Umno yang baru? Ini terlepas peluang pada pandangan saya, KJ,” katanya kepada hos bersama, Khairy Jamaluddin.
Skip to content