Laporan Media: Program Jom Belajar Koding (jbk) Menyahut Seruan Yb Khairy Jamaluddin Untuk Anak Muda Menguasai Bahasa Pengekodan

Jom Belajar Koding (JBK) adalah sebuah program yang dicadangkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang dikelolakan oleh Biro Profesional Muda (BPM) selama dua (2) hari untuk setiap sesi. Program ini mensasarkan 2,000 penyertaan anak muda di seluruh negara secara keseluruhan bertujuan bagi memberi pendedahan awal dalam penerokaan platform IT seterusnya menarik minat mereka meneraju ke arah masa hadapan IT.

 

LAPORAN MEDIA

21 MEI 2017

CYBERJAYA: Program Jom Belajar Koding (JBK) Hackathon akan diteruskan untuk mendedahkan kepada generasi muda di negara ini terutama di luar bandar mengenai bahasa pengekodan dan pengaturcaraan yang akan menjadi bahasa masa depan, kata Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata, sudah tiba masanya anak muda menguasai bahasa masa hadapan iaitu pengekodan dan pengaturcaraan bagi membentu generasi tersebut mempunyai pengetahuan dan kemahiran tinggi dalam bidang tersebut.

Katanya, pada satu ketika dahulu kerajaan telah melaksanakan dasar untuk membasmi masalah buta huruf dalam kalangan rakyat dan kini menguasai bahasa depan perlu dititikberatkan.

“Saya ilhamkan, bahasa masa depan bukan bahasa Inggeris atau bahasa Malaysia semata-mata tetapi bahasa komputer, bahasa pengekodan dan pengaturacaraan.

“Kalau tidak belajar bahasa ini daripada awal maka kita tidak belajar bahasa masa depan. Satu masa dulu rakyat buta huruf dan kerajaan buat satu polisi. Bayangkan satu hari nanti kita buta huruf dalam bahasa masa depan, apa yang akan berlaku pada kita?

“Sebab itu, saya bawa dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 2015 dan apabila saya bangkitkan soal pengekodan ini ramai yang tidak tahu, dan saya kata ini bahasa masa depan,” katanya kita berucap Majlis Penutupan JBK Hackathon di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Biro Profesional Muda Malaysia, Shahril Hamdan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Inovasi dan Kreativiti Global (MaGic), Ashran Datuk Ghazi.

JBK Hackathon merupakan acara kemuncak dan penutup jelajah Jom Belajar Koding yang telah menemui anak muda dari beberapa buah negeri iaitu Johor, Perak, Melaka, Kuala Lumpur dan Terengganu.

JBK Hackhaton terbahagi kepada tiga sesi iaitu Cabaran JBK, Makmal Idea JBK dan Pamer Sisi JBK.

Seramai 2,000 peserta telah menyertai program tersebut sejak ia dilancarkan pada tahun lalu.

Dalam pada itu, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berharap agar bahasa pengekodan dan pengaturcaraan tersebut dapat dimulakan di peringkat sekolah kerana ia sudah pun dilaksanakan di luar negara.

“Kita tidak mahu ketinggalan jauh di belakang, kita dah kejar negara lain dalam tempoh 20 hingga 30 tahun dan sekarang kita sudah sama dengan negara lain, tapi negara lain jauh kehadapan dalam bidang ini kerana kelas pengekodan di sekolah sudah mula dilaksanakan di negara luar,” katanya.

 

 

[1] Irwan Muhammad Zain. (2017, Mei 21). Anak muda perlu kuasai bahasa pengekodan – Khairy. Astro Awani. Diperoleh daripada http://www.astroawani.com/berita-malaysia/anak-muda-perlu-kuasai-bahasa-pengekodan-khairy-143484

[2] Program Jom Belajar Koding http://jbk.my/

Kongsi di media sosial

Lagi Artikel dan Berita