Kenyataan Media: Keputusan Melonggarkan Syarat Kelayakan Lulus Bahasa Melayu (bm) Peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (spm) Untuk Pelantikan Secara Kontrak Ke Jawatan Pegawai Perubatan Gred Ud41 Di Kementerian Kesihatan Malaysia (kkm) Perlu Diperjelaskan

shahril-259x300KENYATAAN MEDIA

2 JULAI 2017

 

“KEPUTUSAN MELONGGARKAN SYARAT KELAYAKAN LULUS BAHASA MELAYU (BM) PERINGKAT SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM) UNTUK PELANTIKAN SECARA KONTRAK KE JAWATAN PEGAWAI PERUBATAN GRED UD41 DI KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA (KKM) PERLU DIPERJELASKAN”

  1. Saya merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah yang bertarikh 2 Julai 2017 berkenaan kelonggaran kepada syarat lulus mata pelajaran BM di peringkat SPM yang diberikan kepada graduan perubatan yang berkelayakan untuk dilantik secara kontrak: https://kpkesihatan.com/2017/07/02/kenyataan-akhbar-kpk-2-julai-2017-kelonggaran-syarat-lulus-bahasa-melayu-bm-di-peringkat-sijil-pelajaran-malaysia-spm-bagi-tujuan-lantikan-secara-kontrak-pegawai-perubatan-ud41-di-kementerian-ke/
  1. Kenyataan akhbar yang dibuat oleh KP Kesihatan tidak menjelaskan rasional di sebalik keputusan kelonggaran yang diberikan.
  1. Kelonggaran ini dikhuatiri seolah-olah menghantar mesej bahawa Bahasa Melayu bukan menjadi keutamaan kepada graduan perubatan khususnya dan rakyat Malaysia umumnya.
  1. Sewajarnya keputusan yang melibatkan kepentingan awam ini dijelaskan rasionalnya kerana kedudukan Bahasa Melayu di Malaysia sudah termaktub di dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta 32 Bahasa Kebangsaan 1963/67.
  1. Seperti yang dimaklumkan di dalam kenyataan yang dibuat oleh KP Kesihatan, berbanding skim perkhidmatan yang lain yang meletakkan syarat yang lebih tinggi iaitu Kredit BM sebagai syarat lantikan, calon yang memohon lantikan secara tetap Pegawai Kesihatan di KKM hanya perlu LULUS BM di peringkat SPM.
  1. Kelonggaran demi kelonggaran yang diberikan hanya akan memberi gambaran bahawa Bahasa Melayu boleh dipandang enteng oleh rakyat Malaysia.
  1. Umum sedia maklum bahawa berlaku lambakan graduan perubatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Setiap tahun hampir 5,000 pelajar di dalam bidang perubatan tamat pengajian tetapi hospital latihan hanya dapat menampung kira-kira 3,000 doktor pelatih setiap tahun.
  1. Keputusan melonggarkan syarat Lulus BM ini hanya akan menambah dan memburukkan masalah lambakan graduan perubatan yang terpaksa menunggu dari 3 hingga 6 bulan untuk mendapat penempatan di hospital latihan.
  1. Benar, Kementerian Kesihatan menyebut bahawa kelonggaran ini hanya untuk lantikan secara kontrak untuk latihan pegawai perubatan siswazah selama 2 tahun dan khidmat wajib selama 2 tahun. Tetapi apa jaminan KKM bahawa ini tidak akan membawa kepada langkah pintu belakang bagi doktor pelatih hari ini kelak juga diberi kelonggaran menjadi pegawai perubatan tanpa mendapat kelulusan Bahasa Melayu di bawah alasan “lantikan kontrak”?
  1. Bagaimanakah seorang doktor boleh memberi rawatan yang berkesan kepada pesakit sekiranya terdapat masalah komunikasi di mana pesakit tidak mempunyai penguasaan yang baik di dalam bahasa selain daripada Bahasa Melayu? Terdapat juga risiko berlaku kesilapan diagnosis dan rawatan sekiranya doktor tidak boleh memahami apa yang cuba disampaikan oleh pesakit.
  1. Bahasa Melayu bukan semata-mata subjek wajib lulus di peringkat sekolah tetapi adalah teras kepada perpaduan dan integriti nasional. Penghayatan bahasa kebangsaan adalah penting lebih-lebih lagi kepada penjawat awam yang bakal berkhidmat kepada segenap lapisan rakyat Malaysia.

 

SHAHRIL HAMDAN

EXCO PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA MERANGKAP PENGERUSI BIRO PROFESIONAL MUDA, PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA

 

Kongsi di media sosial

Lagi Artikel dan Berita