Terima Kasih Alor Gajah Luar Biasa!

Asalnya saya mahu menukilkan ini selepas selesai isu pelantikan PM dan Kerajaan baharu selesai. Tetapi realitinya mungkin secara tak sedar saya sengaja melengahkan kerana saya tahu ini akan menjadi satu nukilan yang sukar dan berat dari segi emosi. Saya hanya manusia biasa yang tidak terkecuali dari perasaan sedih atau kecewa.
Tetapi sudah tiba masanya. Tiba masa untuk saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga dan pengundi Alor Gajah Luar Biasa.
Terima kasih kerana memberi ruang dan peluang ini. Terima kasih kerana izinkan saya selama dua minggu ini.
Terima kasih kerana beri orang muda seperti saya untuk menjadi salah seorang atas pentas dalam pesta demokrasi PRU 15 ini.
Kita telah berusaha sebaik habis. Berdepan dengan dua gergasi di kawasan yang sebelumnya tewas hampir 7 ribu, kita hampir-hampir dapat melaksanakan kejutan. Tapi rezeki tidak memihak kepada kita.
Berpeganglah kita kepada kepercayaan bahawa perancangan Allah untuk kita sentiasa lebih baik dari perancangan sendiri. Sesungguhnya dengan itu, tidak akan berterusan duka dan lara. Sebaliknya timbul iltizam untuk memperbaiki diri, mensucikan niat, meneruskan juang, insyaAllah.
Kekalahan kita pada harini, bukan satu pengakhiran.
Kepada jentera parti yang menerima saya dengan tangan terbuka, terima kasih atas kebesaran jiwa anda. Dari Pengerusi BN Alor Gajah yang menjadi wakil calon, kepada Setiausaha Bahagian yang mengurus “war room”, kepada Naib Ketua Bahagian yang petah berceramah, kepada Datuk Wira Ketua Bahagian MCA yang meletakkan kepentingan parti mengatasi individu, kepada Datuk Ketua Bahagian MIC yang tak serik membantu, sehinggalah kepada jentera di peringkat PDM dan cawangan. Terima kasih tak terhingga.
Kepada ibu-ibu JR di bawah Datuk Ketua Wanita Bahagian yang berpanas berhujan untuk cuba memenangkan calon. Kepada Pemuda dibawah sahabat saya YB Ketua Pemuda Bahagian yang berusaha dengan sepenuh kudrat, bersengkang mata bersama. Kepada Puteri dibawah saudari Ketua yang senyumnya sentiasa lebih lebar mengatasi calon sendiri. Terima kasih tak terhingga. Saya tak akan lupa.
Kepada ADUN-ADUN dan jentera parti UMNO, MCA, MIC, Friends of BN yang menyusun program dan membantu meyakinkan pengundi, anda tetap wira dimata saya dan pengundi.
Saya tak mampu menyenaraikan semua. Tapi anda tahu siapa anda. Terima kasih menerima kehadiran saya. Semoga persahabatan kita kekal selamanya.
Tahniah dan syabas kepada buat pihak yang berjaya, Pakatan Harapan dan YB Adly Zahari. Semoga dapat berkhidmat sebaiknya untuk #AlorGajahLuarBiasa. Untuk masa kini dan masa depan rakyat serta kawasannya yang cukup berpotensi. Sudah lama mereka menanti pembaharuan dan kemajuan segenap aspek.
Sehingga kita berjumpa semula, tak lama lagi. Pergi ke Kampung Paku, singgah di Melaka Pindah, jangan ragu-ragu, kekal luar biasa, Alor Gajah.
Dari bekas calon no. 1, Shahril Hamdan.
Assalamualaikum wbt.
Kongsi di media sosial

Lagi Artikel dan Berita